Makna salasilah:
Salasilah Keluarga merupakan carta yang mewakili hubungan kekeluargaan dalam bentuk pepohon. Salasilah keluarga lanjutan yang digunakan dalam bidang perubatan, genealogi, dan kerja sosial dikenali sebagai genogram.
Salasilah Keluarga merupakan carta yang mewakili hubungan kekeluargaan dalam bentuk pepohon. Salasilah keluarga lanjutan yang digunakan dalam bidang perubatan, genealogi, dan kerja sosial dikenali sebagai genogram.
Salasilah keturunan atau Salasilah keluarga seseorang itu
amat penting diketahui dalam masyarakat manusia bertamadun. Menjejaki asal usul
keturunan seseorang boleh memberi manfaat kepada hubungan silaturahim kaum
kerabat; dan merapat dan mengekalkan hubungan silaturahim sangatlah dituntut
dalam Islam.
Allah berfirman: "Wahai sekalian manusia! Bertakwalah
kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu
(Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu
Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan, lelaki dan
perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta
dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum
kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu."
Dalam sebuah hadis Qudsi pula Allah berfirman: "Barangsiapa yang memutuskan tali kekeluargaan, akan aku putuskan hubunganKu dengan
dia. Dan barangsiapa menyambungkan tali kekeluargaan, Akupun akan mengukuhkan
tali kekeluargaannya nanti."
Lebih daripada itu diriwayatkan dalam banyak hadis bahawa
amalan silaturrahim akan memakmurkan rumah dan menambah usia walaupun para
pelakunya bukan orang baik-baik. Amalan silaturrahim ini akan membersihkan
segala amalan kita yang lain serta melipatgandakan kekayaan dan menolak bala.
Hadis Jubair bin Mut'im ra, Nabi saw bersabda: “Tidak
akan masuk Syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan (Silaturahim).”
Mencari atau menjejak waris yang dilakukan oleh orang-orang
Melayu di era penjajahan British, terutamanya di kalangan orang-orang kampung
amatlah ketara atas beberapa sebab seperti berikut:
- Masalah perhubungan pada zaman dahulu (zaman Dato' Bahaman dan Dato' Mat Kilau) yang amat mundur menyebabkan seseorang itu merasai sedih dan gusar untuk merantau jauh dari kampung halaman. Apabila ada mana-mana keluarga atau ahli keluarga yang hendak keluar mencari nafkah atau mencuba nasib ke tempat yang agak jauh dari kampung, akan diadakan satu majlis perpisahan dan doa selamat kerana kebanyakan yang keluar itu akan terus berhijrah dan tinggal di perantauan sehingga berkampung di tempat baru itu sampai beranak cucu, tidak pulang-pulang ke kampung asal kecuali untuk menziarahi sanak saudara yang masih ada.
- Anak cucu generasi baru yang sudah tidak kenal kampung asal datuk nenek mereka biasanya akan dibawa sekali sekala balik ke kampung asal mereka untuk mengenal waris dan asal usul serta mengetahui salasilah mereka. Tetapi kebanyakan daripada mereka langsung tidak berpeluang untuk berbuat demikian disebabkan kesukaran perhubungan: tiada jalan raya, tiada pengangkutan. Yang ada pada zaman itu ialah kapal atau perahu layar. Jika ikut daratan terpaksa meredah hutan belantara mengikut laluan berjalan kaki seperti yang dilakukan oleh Dato' Bahaman dan orang-orangnya.
- Maka itu adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menceritakan secara terperinci susur-galur salasilah mereka kepada anak cucu supaya tidak berlaku masalah seperti perbalahan/pergaduhan antara sesama saudara mara dan perkahwinan antara adik beradik kandung. Masalah perkahwinan adik dengan abang kandung atau kakak dengan adik kandung ini boleh berlaku kerana sudah lumrah suami yang pergi merantau terus kekal di perantauan, berkahwin baru dan mendapat anak-anak pula di tempat baru, manakala di kampung asal sudah ada isteri dan anak-anak yang ditinggalkan. Perpisahan yang terus menerus tidak balik-balik dan tidak memperkenalkan anak-anak isteri baru dengan anak-anak isteri lama boleh memungkinkan berlaku perkahwinan mahram ini.
Kini, lain pula budayanya. Minat untuk mencari waris,
menjejak kasih tidak lagi menjadi keutamaan di kalangan orang kita. Inilah
akibat dari arus pembangunan dan pemodenan. Sifat nafsi-nafsi sudah berleluasa,
terutamanya di kalangan penduduk bandar.
Salasilah merupakan sebahagian daripada ilmu sains sosial
yang turut mempunyai hubungan dengan ilmu sejarah. Penekanan kepada ilmu
salasilah dalam kalangan orang Melayu khususnya agak terhad kepada golongan
kerabat diraja maupun bangsawan sahaja. Ilmu penulisan salasilah ini penting atau "vital"
kerana memalui ilmu ini kita akan cuba mencari identiti dan jati diri kita
sendiri.
Salah satu bentuk penyusunan salasilah adalah menggunakan
kaedah data genealogi. Data genealogi boleh dilambangkan dalam beberapa format,
misalnya sebagai carta rangga keluarga atau carta leluhur. Salasilah keluarga
lazimnya dibentangkan dengan susunan generasi tertua di atas hingga generasi
terkini di bawah. Carta leluhur yang memaparkan nenek moyang seseorang pastinya
lebih menyerupai bentuk pokok, iaitu atasnya lebih besar daripada bawahnya.
Sesetengah carta leluhur dilukis dengan diri di kiri diikuti leluhurnya ke
kanan. Carta pewaris yang memaparkan semua keturunan seseorang semestinya
paling tirus di atasnya.
Sumber:
- Wikipedia - ms.wikipedia.org/wiki/Salasilah (5 Ogos 2015)
- Wikipedia - ms.wikipedia.org/wiki/Salasilah_keluarga (5 Ogos 2015)
Penyusunan Salasilah
- Salasilah ini adalah berbentuk genealogi. Punca atas asas bagi salasilah ini dinamakan perdu. Di dalam Kamus Dewan Bahasa, perdu bermaksud pangkal pokok atau asas.
- Peringkat selepas perdu akan dikategorikan sebagai lapisan pertama. Lapisan pertama bolehlah digambarkan sebagai ‘anak’ kepada perdu.
- Lapisan kedua pula sebagai anak kepada lapisan pertama dan ‘cucu’ kepada perdu.
- Lapisan ketiga adalah anak kepada lapisan kedua, atau cucu kepada lapisan pertama, atau ‘cicit’ kepada perdu.
- Begitulah seterusnya ia melebar dan berkembang sehingga generasi sekarang.
No comments:
Post a Comment